EP43: Bagaimana DHCP Server Berfungsi?
Belajar apa itu DHCP Server dan bagaimana ia berfungsi.
Secara asasnya, setiap peranti seperti telefon, komputer, tablet memerlukan IP Address sebelum ia boleh berhubung antara satu sama lain atau juga untuk mendapatkan akses ke internet.
Jadi, di sinilah peranan DHCP Server. Tanpa DHCP Server, anda perlu ditetapkan IP Address secara manual pada setiap peranti. Ini sudah pasti sesuatu yang sangat menyusahkan serta mudah terdedah kepada kesilapan manusia seperti memasukkan IP Address yang sama pada dua peranti dalam rangkaian yang sama.
Kesannya akan berlaku IP Conflict!
Dalam nota kali ini, kita akan lihat bagaimana DHCP Server berfungsi langkah demi langkah, dengan cara yang mudah difahami.
Apa Itu DHCP?
DHCP adalah singkatan bagi Dynamic Host Configuration Protocol yang merupakan protokol untuk memberikan Alamat IP, Subnet mask, Default gateway, DNS server dan juga Lease time (tempoh sah pemilikan IP) secara automatik kepada mana-mana peranti (DHCP client) yang bersambung ke rangkaian.
Bagaimana DHCP Berfungsi?
Proses DHCP sangat terkenal dengan istilah DORA, iaitu:
D – Discover
O – Offer
R – Request
A – Acknowledge
1) DHCP Discover – “Siapa boleh bagi saya IP?”
Apabila sebuah peranti (client) baru disambungkan ke rangkaian, secara asalnya Ia tidak mempunyai sebarang IP. Maka ia akan mula broadcast mesej DHCP Discover ke rangkaian yang disambungkan.Ia bertujuan mencari jika ada DHCP server yang aktif.
Contoh dalam bahasa mudah : “Hello! Ada tak DHCP server? Saya perlukan alamat IP”
2) DHCP Offer – “Ini IP yang saya boleh bagi”
Apabila DHCP Server menerima Discover, ia akan menyemak pool IP yang masih kosong, memilih satu IP yang boleh diberikan dan menghantar DHCP Offer kepada client. Pada ketika ini juga DHCP server memberikan maklumat dalam bentuk cadangan seperti Subnet mask, Gateway, DNS server dan juga Lease time.
Contoh dalam bahasa mudah : “Saya ada IP 192.168.1.20 untuk anda, nak tak?”
3) DHCP Request – “Saya nak IP tersebut, tolong simpan untuk saya”
Client yang menerima DHCP Offer akan menghantar DHCP Request kepada server itu untuk mengesahkan pilihan IP tersebut.
Contoh dalam bahasa mudah : “Okay DHCP Server, saya terima tawaran IP tu. Tolong simpan untuk saya. Jangan beri pada orang lain”
4) DHCP Acknowledge – “IP sudah disahkan untuk kamu”
Akhir sekali, DHCP server akan menghantar mesej DHCP ACK kepada client untuk mengesahkan IP tersebut milik client tersebut, memberikan semua konfigurasi seperti subnet mask, gateway DNS dan juga lease time iaitu tempoh sah pemilikan IP address tersebut.
Contoh dalam bahasa mudah : “Baik! IP ini dah rasmi jadi milik anda untuk 24 jam.”
Persoalan disini, apa akan jadi bila Lease Time hampir tamat?
Sebelum tempoh lease time tamat, client akan menghantar DHCP Request semula bagi untuk tujuan perbaharui tempoh pemilikan IP. Jika DHCP server setuju, ia akan memberi mesej ACK dan client boleh sambung menggunakan IP address yang sama tanpa penukaran IP atau terputus dari rangkaian.
Sekiranya client tidak bersambung kepada rangkaian sehingga tamat tempoh lease time dan bersambung semula kepada rangkaian selepas tempoh tersebut, DHCP server boleh pertimbangkan samada untuk berikan IP yang sama seperti sebelum ini jika tiada mana-mana peranti gunakan IP tersebut, ataupun DHCP server akan menawarkan IP yang baru daripada IP Pool.
Apa Kelebihan DHCP Server?
✔ Anda tidak perlu assign IP secara manual
✔ Kurang risiko IP conflict
✔ Mudah urus ratusan / ribuan peranti
✔ Anda boleh buat IP reservation untuk server atau peranti penting
✔ Anda boleh kawal IP di VLAN berbeza menggunakan DHCP Relay
Kesimpulannya, DHCP Server adalah komponen asas penting dalam rangkaian. Ia membantu memberikan IP secara automatik, mengurangkan kesilapan manusia, dan memastikan rangkaian berjalan dengan lebih tersusun. Dengan memahami proses DORA, anda telah memahami asas bagaimana DHCP berfungsi.
BELAJAR INFRASTRUKTUR IT SECARA ONLINE
Jom belajar mengenai Infrastruktur IT secara online dan fleksible mengikut masa anda! Dapatkan rakaman kursus-kursus yang telah dijalankan di https://www.infratify.com
SERTAI KOMUNITI INFRASTRUKTUR IT MALAYSIA
Sertai Komuniti Infrastruktur IT Malaysia untuk berbincang, bertanyakan soalan, berkongsi ilmu, pandangan dan mendapatkan bantuan berkenaan IT daripada penggiat IT Malaysia.
Telegram : https://t.me/inframesia
Facebook : https://www.facebook.com/groups/komunitiinfrastrukturit
Discord : https://discord.gg/7A2ktCEm
DAPATKAN SERVIS BERKAITAN INFRASTRUKTUR IT
Pening untuk uruskan Infrastruktur IT? Dapatkan khidmat profesional infrastruktur IT yang merangkumi server, network, cloud, backup & monitoring dan migration.
Sama ada anda syarikat kecil atau besar, kami sedia bantu anda untuk menyelesaikan masalah berkaitan infrastruktur IT. Ada fokus pada pengurusan organisasi dan perniagaan, kami bantu uruskan infrastruktur IT anda!
SUBSCRIBE NEWSLETTER NOTA INFRA
Belajar infrastruktur IT dengan penerangan dan infografik yang mudah difahami. Subscribe blog ini untuk membolehkan anda menerima artikel-artikel terkini terus ke email anda dan upgrade untuk dapatkan akses kepada artikel premium.




